Apakah itu Prostat?

Prostat merupakan kelenjar kecil yang terdapat pada orang lelaki dan memainkan peranan dalam pengeluaran air mani. Ia terletak di bawah pundi kencing dan di depan rektum, dan mengelilingi uretra yang mengeluarkan air kencing dan air mani daripada badan.

Prostat biasanya tumbuh lebih besar seiring pertambahan usia lelaki. Sesetengah lelaki mungkin mengalami masalah kesihatan yang disebabkan oleh prostat jika ia menjadi terlalu besar.

Apakah Itu Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)?

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) adalah pembesaran kelenjar prostat bukan kanser (prostat membesar). Keadaan ini merupakan gangguan urologi yang biasa pada lelaki berusia lebih 50 tahun.

Pembesaran prostat ini menyebabkan uretra, tiub yang mengeluarkan air kencing keluar dari zakar menjadi terkepit dan sempit. Keadaan ini menghalang laluan air kencing dari pundi kencing dan lebih banyak tekanan diperlukan untuk air kencing keluar.

Pundi kencing mula mengecut walaupun belum penuh dan akhirnya mungkin kehilangan keupayaan untuk mengosongkan pundi kencing. Apabila uretra terjepit, pundi terpaksa bekerja lebih kuat dan lama-kelamaan, otot-otot pundi akan menjadi lemah.

Apakah Simptom Hiperplasia Prostat Benigna?

Sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut, kemungkinan besar anda mempunyai BPH:

  • Tekanan dan peneranan yang lebih tinggi diperlukan untuk membuang air kecil.
  • Air kencing yang tidak lancar dan terganggu.
  • Pundi yang terasa tidak kosong selepas membuang air kecil.
  • Ketidakupayaan untuk membuang air kecil secara tiba-tiba (pengekalan kencing akut).
  • Keperluan membuang air kecil secara tiba-tiba.
  • Membuang air kecil lebih kerap, terutamanya pada waktu malam.
  • Kebocoran urin.
  • Hematuria (darah dalam air kencing) boleh menjadi tanda BPH, tetapi kebanyakan lelaki dengan BPH tidak mempunyai hematuria.

Apakah Sebab dan Faktor Risiko Hiperplasia Prostat Benigna?

Punca BPH tidak diketahui. BHP boleh berlaku disebabkan oleh pengumpulan hormon lelaki dihydroxytestosterone (DHT) yang merupakan testosteron yang terlibat dalam pertumbuhan prostat. Punca tahap tinggi DHT belum difahami.

Ketidakseimbangan hormon yang seiring dengan usia yang semakin meningkat mungkin menjadi punca bagi keadaan ini.

Berikut ialah faktor risiko BPH:

  • Penuaan: Kelenjar prostat yang besar jarang menyebabkan gejala pada individu di bawah umur 40 tahun. Kemungkinan untuk mengalami pembesaran prostat dan gejala yang berkaitan dengannya akan meningkat apabila anda mencapai usia 40-an.
  • Sejarah keluarga: Jika anda mempunyai saudara sedarah yang mengalami masalah prostat, kemungkinan anda untuk menghadapi masalah dengan prostat adalah lebih tinggi.
  • Diabetes dan penyakit jantung: Kajian menunjukkan bahawa diabetes dan penyakit jantung dapat meningkatkan risiko mengalami BPH.
  • Gaya Hidup: Obesiti meningkatkan risiko BPH, tetapi risiko boleh dikurangkan melalui senaman.

Apakah Komplikasi bagi Hiperplasia Prostat Benigna?

Jika BPH tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyumbatan uretra menjadi lebih teruk, dan gejala anda mungkin merosot. BPH yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan:

  1. Kerosakan pundi kencing dan uretra

    Pundi kencing yang tidak kosong sepenuhnya boleh berkembang dan lemah dari semasa ke semasa, menunjukkan kerosakan pundi kencing. Keadaan ini mengakibatkan dinding otot pundi kencing tidak dapat memerah dengan cukup untuk memaksa air kencing keluar dan menjadikannya lebih sukar untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya.

    Ketegangan uretral pula menyebabkan penyempitan uretra. Ia adalah tiub yang mengangkut air kencing dari pundi kencing melalui zakar dan mengeluarkan meatus uretral (pembukaan di hujung zakar) semasa kencing. Ramai lelaki dengan penyempitan uretra akan mengalami pengaliran air kencing yang semakin perlahan dan ketidakselesaan yang semakin meningkat ketika membuang air kecil. Ini boleh berlaku perlahan-lahan dan menyebabkan keperluan untuk meneran dengan lebih kuat untuk mengeluarkan air kencing. Sistem kencing yang lemah adalah gejala penyempitan uretra yang paling biasa.

  2. Batu karang pundi kencing

    Batu karang pundi kencing merupakan mendapan mineral pepejal yang terbentuk di dalam pundi kencing anda. Ia terbentuk apabila air kencing berada terlalu lama di dalam pundi kencing anda. Jika anda mempunyai batu karang pundi kencing, gejala paling biasa yang anda akan alami ialah sakit di bahagian perut, dan juga masalah semasa membuang air kecil.

  3. Kerosakan buah pinggang

    Air kencing yang tersumbat akan menyebabkan tekanan naik di dalam pundi kencing, dan ini akan merosakkan buah pinggang atau meningkatkan kemungkinan jangkitan pundi kencing merebak ke buah pinggang.

  4. Jangkitan buah pinggang

    Jangkitan buah pinggang juga dikenali sebagai pyelonephritis ialah sejenis jangkitan saluran kencing yang lazimnya beralih daripada pundi kencing ke buah pinggang anda. Biasanya, jangkitan buah pinggang adalah disebabkan oleh bakteria. Antara gejala jangkitan buah pinggang yang biasa berlaku ialah demam, masalah mengeluarkan air kencing, sakit pinggang dan rasa sakit apabila membuang air kecil. Jangkitan seperti ini dirawat dengan antibiotik.

  5. Inkontinens urinari

    Inkontinens urinari (UI) ialah apabila anda hilang kawalan pundi kencing atau anda tidak dapat mengawal pengaliran air kencing. Keadaan ini biasa berlaku dan boleh bermula dari menjadi masalah kecil kepada keadaan yang memberikan kesan yang teruk dalam kehidupan seharian anda. Walau bagaimanapun, inkontinens urinari boleh menjadi lebih baik dengan rawatan dan penjagaan yang betul.

Adakah Hiperplasia Prostat Benigna Menyebabkan Kegagalan Ereksi?

Orang lelaki yang mengalami BPH juga mungkin mengalami kegagalan ereksi dan masalah ejakulasi. Walaupun secara sendirinya, BPH tidak menimbulkan masalah-masalah ini, beberapa kaedah rawatan BPH boleh menyebabkan kegagalan ereksi.

Bolehkah Hiperplasia Prostat Benigna yang Tidak Dirawat Membawa Kepada Kanser Prostat?

Menurut kajian, BPH tidak meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser prostat. Walau bagaimanapun, BPH dan kanser prostat mempunyai gejala yang sama. Jika anda mengalami BPH, anda juga mungkin menghidap kanser prostat yang belum dikesan, sila dapatkan nasihat doktor secepat mungkin.

Bagaimanakah Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) Didiagnos?

Doktor anda akan meneliti sejarah perubatan anda, bertanya soalan yang berkaitan dan menjalankan pemeriksaan fizikal. Antara pemeriksaan fizikal yang kerap dilakukan ialah pemeriksaan dubur digital.

Semasa pemeriksaan dubur digital, doktor anda akan memakai sarung tangan dan memasukkan jari mereka ke dalam lubang dubur anda dengan cermat. Mereka akan merasa-rasa bahagian tepi dan permukaan prostat anda, menganggarkan saiznya dan mengenal pasti mana-mana bintik keras yang boleh menjadi kanser.

Doktor anda juga boleh menjalankan:

  • Tinjauan untuk menilai keparahan gejala anda.
  • Ujian aliran air kencing untuk mengukur kelajuan aliran air kencing anda.
  • Kajian untuk menyiasat baki air kencing di dalam pundi kencing anda selepas anda selesai membuang air kecil.
  • Sistoskopi untuk melihat bahagian dalam pundi kencing anda.

Bagaimanakah Hiperplasia Prostat Benigna Dirawat?

Terdapat beberapa rawatan yang tersedia untuk merawat BPH. Doktor anda akan menilai keadaan anda dan mencadangkan rawatan yang terbaik berdasarkan umur, tahap keterukan BPH dan kesihatan umum anda. Pilihan rawatan termasuk:

  1. Terapi Wap Air (Rezūm)

    Terapi Wap Air (Rezūm) ialah prosedur invasif minimum bagi pesakit lelaki yang ingin merawat BPH. Rawatan ini menggunakan wap air untuk mengecutkan tisu prostat yang dikaitkan dengan BPH dan memberikan kelegaan yang berkekalan daripada gejalan BPH.

    • Semasa prosedur Rezūm, wap air akan dilepaskan ke tisu prostat yang disasarkan menggunakan peranti khas.
    • Apabila wap menyentuh tisu dan bertukar kembali menjadi air, semua tenaga yang tersimpan akan dibebaskan. Ini membunuh sel prostat yang berlebihan dan menyebabkan prostat mengecut, sekali gus membesarkan bukaan uretra supaya air kencing dapat mengalir dengan lancar.
    • Jumlah wap air disesuaikan mengikut saiz prostat.
    • Prosedur cepat dan tidak menyakitkan ini boleh diselesaikan dalam masa 10 minit dengan anestesia.
    • Kateter kencing akan dimasukkan selama satu minggu agar anda dapat membuang air kecil sambil menunggu keradangan pascapembedahan untuk reda.

    Berikut ialah beberapa manfaat Terapi Wap Rezum:

    • Invasif minimum.
    • Menurut hasil kajian klinikal, kaedah ini melegakan gejala BPH dengan selamat dan berkesan.
    • Kebanyakan pesakit dapat kembali melakukan aktiviti biasa dalam masa beberapa hari.
    • Mengekalkan fungsi ereksi dan kencing.
    • Melegakan gejala secara berkekalan.
    • Tiada implan kekal.
  2. Rawatan ubat

    Terdapat dua kategori ubat untuk penyakit ini:

    • Ubat yang mengendurkan prostat untuk mengurangkan penyumbatan bukaan pundi kencing.
    • Ubat yang menyekat pengeluaran hormon lelaki (DHT) yang diketahui merupakan punca kepada pembesaran prostat.
  3. Pengewapan laser

    Rawatan ini adalah untuk pesakit yang mempunyai kelenjar prostat yang lebih kecil. Tenaga laser dihantar melalui uretra, ke kelenjar prostat untuk memusnahkan tisu yang menyebabkan pembesaran prostat.

  4. Rawatan pembedahan

    Rawatan ini membuang bahagian prostat yang besar, yang menekan uretra. Terdapat beberapa kaedah pembedahan yang boleh dijalankan:

    • Pembedahan terbuka adalah untuk prostat yang sudah menjadi terlalu besar.
    • Potongan transuretral prostat.
    • Reseksi transuretral prostat.
    • Tunggu-dan-pantau jika gejala anda ringan.

Bagaimanakah Cara untuk Mencegah Hiperplasia Prostat Benigna?

Mengubah gaya hidup untuk meningkatkan kesihatan prostat dan jantung anda merupakan kaedah yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko anda mendapat BPH.

Bersenam sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari dapat membantu mencegah BPH atau melambatkan pertumbuhan prostat. Adalah penting untuk mengekalkan paras kolesterol, tekanan darah dan paras gula darah yang normal.

Baca lebih lanjut: Masalah Kesihatan yang Perlu Disedari oleh Lelaki

Buat Janji Temu di Hospital Pantai

Bercakap kepada doktor kami jika anda mengalami sebarang gejala Hiperplasia Prostat Benigna (BPH). Pasukan pakar Urologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan yang terbaik.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Book Now

Kunjungi Hospital Pantai terdekat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan Terapi Wap Air (Rezūm).

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!