PEMBEDAHAN GANTIAN SENDI LUTUT
Mengenali Pembedahan Gantian Sendi Lutut
Pembedahan gantian sendi lutut ialah pembedahan di mana permukaan tulang rawan pada sendi lutut yang rosak dibuang dan digantikan dengan implant.
Doktor anda akan menyarankan pembedahan gantian sendi lutut sekiranya anda mempunyai;
- Sakit sendi lutut yang membataskan aktiviti harian
- Kerosakan permukaan sendi lutut akibat penyakit osteoarthritis, rheumatoid arthritis dan arthritis akibat kecederaan.
- Sakit lutut yang berpanjangan dan tidak terkesan dengan usaha pengurangan berat badan, ubat tahan sakit serta suntikan lutut.
Kebaikan Menjalani Pembedahan Gantian Sendi Lutut
Pembedahan gantian sendi bertujuan untuk menghilangkan kesakitan pada sendi lutut dan membantu pergerakan sendi lutut yang lebih lancar. Anda boleh menjalani aktiviti harian seperti berjalan dan memandu.
Apa Yang Tidak Boleh Dilakukan Selepas Pembedahan Gantian Lutut
Anda perlu mengelakkan aktiviti seperti melompat atau berlari kerana aktiviti seperti ini memberi tekanan serta impak yang kuat kepada lutut gantian.
Sebelum Pembedahan
- Anda perlu menyatakan ubat-ubatan diambil seperti ubat cair darah Aspirin, ataupun sebarang alahan kepada ubat-ubatan
Semasa Pembedahan
- Sebelum prosedur, doktor pakar bius akan melakukan bius penuh ataupun bius separuh badan
- Pembedahan akan mengambil masa sekitar 2 hingga ke 3 jam
- Bahagian logam implant akan dilekatkan kepada bahagian penghujung tulang femur dengan menggunakan simen tulang. Lapisan plastik akan diletakkan antara tulang femur dengan tulang tibia untuk membenarkan pergerakan lancar antara kedua-dua permukaan serta dan ianya akan menampung berat badan pesakit.

Selepas Pembedahan
- Anda mungkin akan merasa sakit selepas pembedahan gantian sendi lutut. Doktor anda akan memberi ubat untuk mengurangkan kesakitan.
- Anda juga mungkin mengalami pergerakan yang terbatas di bahagian sendi lutut yang telah dibedah. Anda perlu menjalani rehabilitasi dengan ahli fisioterapi yang akan memberi tunjuk ajar senaman yang sesuai untuk dilakukan.
Risiko Pembedahan Gantian Sendi Lutut:
Risiko pembedahan adalah rendah, namun, komplikasi yang boleh berlaku (tidak terhad kepada) termasuk;
- Pendarahan/Lebam
- Pembekuan darah salur vena
- Kepatahan
- Jangkitan kuman
- Implant longgar
- Kecederaan pada saraf dan salur darah
- Kebas
- Sendi kaku/Ketidakstabilan
- Strok/Serangan jantung
Doktor anda akan menerangkan tentang risiko pembedahan secara terperinci. Doktor juga akan menilai terhadap tahap kesihatan anda sebelum pembedahan.
Jumlah hari kemasukan wad
Pesakit akan dibenarkan pulang ke rumah selepas 1-3 hari jika tiada komplikasi yang berlaku. Ia juga bergantung kepada kadar penyembuhan selepas pembedahan. Sesi fisioterapi dapat mempercepatkan proses penyembuhan.